Create your own banner at mybannermaker.com!

Lagu Retro Kecewakan Rini Dan Obri


KUALA LUMPUR, 28 MAC 2009: Ternyata nasib tidak menyebelahi 2 pelajar iaitu Rini dan Obri apabila kedua-duanya tersingkir dalam konsert minggu ketiga Akademi Fantasia 7 (AF7), di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Obri atau nama sebenarnya Ahmad Sobri Bin Hasmuni, 24, berasal dari Johor Bahru, Johor manakala Zufazrini Zulkifli (Rini), 25, pula anak kelahiran Kajang, Selangor.

Penyingkiran diumumkan oleh hos AC Mizal selepas kedua-dua pelajar itu menerima jumlah undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) paling corot daripada penonton program paling popular itu.

Obri menyanyikan lagu Abang Beca nyanyian asal Mendiang Broery Marantika dan Rini pula mendendangkan lagu Seloka Cinta Remaja dendangan asal Allahyarham Seha - Freedom.

Konsert yang bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104) turut menampilkan kelainan apabila lagu Menuju Puncak disampaikan secara acapella sebagai menunjukkan tanda sokongan AF7 terhadap kempen bergelap atau Earth Hour 2009.

Malam tadi semua pelajar tampil dengan lagu-lagu popular pada era 1970-an dan 1980-an. Mereka yang mendapat pujian adalah Isma dan Hafiz berjaya melontarkan vokal yang jelas serta persembahan bersahaja.

Persembahan pelajar wanita malam tadi adalah Claudia (Lama Tak Jumpa /Zur Eda), Zizi (Ini Rindu / Farid Harja), Aishah (Mata/ Noorkumalasari), Rubisa (Angan-Angan/ Raja Ema), dan Isma (Rambu Ramba/ Nursheila Amin).

Manakala pelajar lelaki yang membuat persembahan adalah Hafiz (Mat Disko / Sudirman), Akim (Anak Gembala/ Sudirman), Yazid (Pawana / Search), Qhaud (Pilihlah Aku / Latiff Ibrahim), Aril (Andainya Aku Pergi Dulu / Alleycats) dan Sidi (Hanya Di Radio / Headwind).

Dengan penyingkiran Rini dan Obri itu, bermakna 11 lagi pelajar akan meneruskan perjuangan meraih gelaran juara AF7.

Pengkritik yang bertugas minggu ini adalah Adlin Aman Ramlie, Kharil Johari Johar dan Dato' Khadijah Ibrahim yang kembali selepas tempatnya digantikan Dato' Yusni Hamid pada minggu lalu. Sementara menunggu keputusan, penonton dihiburkan oleh penyanyi terkenal Anggun Cipta Sasmi dengan sebuah lagu terbarunya.


No comments: