Create your own banner at mybannermaker.com!

Yazid Belum Tahu Ayah Kahwin Lagi

KUALA LUMPUR, 3 APRIL 2009: Pada saat-saat Yazid sedang sibuk melayari dan mengejar impian dalam Akademi Fantasia 7 (AF7), dia sendiri belum tahu bahawa ayahnya, Ibrahim Mohd Yusof, 60, telah pun menikah dengan seorang wanita yang berasal dari Medan, Zalean Saman, 41, baru-baru ini.

Perkara ini didedahkan secara eksklusif oleh kakak kandung Yazid, Siti Aminah semalam.Siti Aminah berkata, keluarganya tidak berniat untuk menyorok perkara yang baik itu kerana pernikahan ayah mereka yang telah lama menduda, telah dilangsungkan secara sederhana di Pejabat Agama Islam Johor di Johor Bahru dengan disaksikan oleh beliau sendiri.

"Sebenarnya, ayah kami telah lama menduda iaitu selepas ibu kami meninggal dunia di pangkuan Yazid sendiri. Peristiwa menyedihkan itu berlaku ketika kami bercuti di Cameron Highlands pada April 2005."

Jadi hasrat ayah kami itu tidak pernah kami tentang. Sebagai anak, kami faham dia sentiasa sunyi dan memerlukan seseorang untuk menjaga makan minumnya. Tapi, setiap kali ayah cakap hendak berkahwin, perkara tersebut tidak pula berlaku hinggalah baru-baru ini.

"Itupun awalnya kami anggap ayah tidak serius apabila dia perkenalkan calon ibu tiri kami itu yang berasal dari Medan. Tak sangka pula kali ini, ayah memang bersungguh-sungguh.

"Walaupun Yazid juga telah jumpa Makcik Zalean kira-kira 4, 5 bulan lalu, tapi dia belum tahu lagi tentang pernikahan ayah kami itu apabila berada dalam AF7. Mungkin ia satu surprise untuk Yazid nanti," kata Siti Aminah.

Katanya, memandangkan, pernikahan ayah mereka ini dibuat tanpa dirancang lebih awal, hanya dia seorang saja daripada 6 adik-beradik Yazid yang dapat hadir bersama suaminya di Pejabat Agama tempoh hari.

"Kesemua adik-beradik Yazid yang lain duduk jauh-jauh. Kakak Yazid yang pertama, Siti Hajarah, sekarang dah menetap di Texas, Amerika Syarikat selepas berkahwin dengan seorang lelaki Perancis. Yang ketiga, Mohd Nazir pula kini berada di Australia atas urusan kerja.

"Yang keempat, Siti Fuziah, bekerja di Bukit Aman, Kuala Lumpur dan yang kelima, Siti Khadijah bekerja biasa-biasa saja dan menetap dengan Siti Fuziah. Yazid pula adalah adik bongsu kami. Hanya saya dan Yazid saja yang tinggal di Johor Bahru," katanya.

Siti Aminah berkata, bagi menyempurnakan lagi majlis pernikahan ayah mereka dengan Zalean, dia sudah merancang untuk membuat satu lagi majlis kenduri yang agak besar walaupun telah membuat kenduri ringkas untuk jiran tetangga tempoh hari.

"Kali ini, adik-beradik Yazid yang lain akan datang kecuali kakak sulung kami. Majlis itu juga akan dilakukan bersempena kenduri arwah ibu kami, Allahyarham Asiah Ahmad yang meninggal pada 10 April 2005.

Tarikh lahir ibu kami jatuh pada 1 April lalu dan saya tidak pasti bagaimana perasaan Yazid setiap kali tibanya 10 April.

"Pasti Yazid akan terasa sangat sedih sekali sebab dalam banyak-banyak adik-beradik, dialah yang paling rapat dan manja dengan arwah ibu. Maklumlah anak bongsu," katanya.

Atan Panggilan Mesra Untuk Yazid Menceritakan lebih lanjut tentang Yazid, Siti Aminah berkata, Yazid dipanggil dengan nama Atan di kalangan keluarga mereka kerana sering sakit-sakit ketika waktu kecil dulu. Walaupun pendiam, dia kadangkala suka berjenaka.

"Selain suka menyanyi dia juga suka melukis kartun, potret, mural, menulis puisi, lirik lagu dan boleh main keyboards sikit-sikit. Sebenarnya Yazid tu malas nak masuk mana-mana pertandingan nyanyian. Kalau hendak masuk, anak saya pula kena temankan dia.

"Sama jugalah dengan AF. Dari tahun lepas lagi saya dah galakkan dia masuk. Tapi, dia tidak mahu. Lagipun masa tu dia terikat dengan band muzik sendiri dan mereka memang dah rancang untuk buat album. Tengah-tengah buat album, kumpulan mereka pula berpecah. Sebab itulah dia masuk AF7 tahun ini.

"Saya tahu Yazid sukakan lagu jazz termasuk lagu Inggeris. Tapi saya tak ingat pula judulnya. Kalau nak tahu siapa Ahmad Din yang selalu dia sebut dalam Diari AF... itulah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dia dengan irama jazz. Selain itu, Yazid dia minat Sheila Majid dan lagu keroncong. Kalau lagu rock pula, dia suka dengan Muse," kata Siti Aminah yang seakan mengetahui segala-galanya tentang adiknya itu.

Beliau turut mendedahkan bahawa Yazid pernah bercinta dengan seorang gadis dari Singapura tetapi terpaksa memutuskan hubungan tersebut kerana perbezaan status.

"Apa yang saya tahu gadis itu pun dah jumpa pengganti Yazid," katanya yang mengakui Yazid gemar makan lauk yang ringkas seperti Telur Masak Kicap.

No comments: