Create your own banner at mybannermaker.com!

'Norman lelaki paling rapat'


BOSAN dan jelak disuakan persoalan yang serupa namun apa saja yang mampu dilakukan oleh gadis ini untuk menutup mulut mereka yang tidak pernah jemu mendapatkan kepastian daripadanya. Mahu atau tidak dia terpaksa berdepan dengan pertanyaan demi pertanyaan mengenai pengakhiran hubungannya dengan aktor sensasi, Norman Hakim.

Jauh di sudut hati mahu saja dia melontar jauh segala peristiwa hitam lalu tanpa perlu ada yang terus mengungkit dan membangkit persoalan yang dia sendiri tidak mempunyai jawapannya.

Bagi Suhaiza Suhaimi atau nama komersialnya, Memey Suhaiza, 21, berdiam diri adalah jawapan terbaik daripada terus mengulas mengenai hubungan dengan duda tiga anak itu. Sebagai gadis, Memey akur tidak manis untuk dia berbicara soal hati apatah lagi bercerita panjang mengenai perancangan masa depan terutama menyentuh soal perkahwinan.

“Lebih baik hal itu ditanyakan kepada Norman. Mungkin dia mempunyai jawapannya. Tidak manis saya sebagai seorang wanita bercerita mengenai soal hati dan perkahwinan selagi belum ada kata putus daripadanya. “Tetapi saya tidak menafikan dia lelaki yang paling rapat dalam hidup saya,” kata Memey seakan sudah menduga pertanyaan itu pasti kembali diajukan kepadanya ketika pertemuan sempena pelancaran drama online terbaru siaran Gua TV, Mingguan Lelaki, baru-baru ini. Menyelak tabir hatinya, gadis kelahiran Kota Tinggi, Johor ini jujur meluahkan, fokus utamanya ketika ini adalah memperkukuhkan dulu nama serta memantapkan karier lakonan yang baru setahun dua diceburi. Apatah lagi pada usia baru mencecah 21 tahun, Memey merasakan masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal perkahwinan.

“Saya masih muda untuk ke arah itu. Biarlah saya bekerja dulu untuk mencari kepuasan dalam dunia lakonan. Tambahan pula keluarga di kampung juga masih bergantung kepada saya.

“Memikirkan semua itu, setiap kali sebelum keluar rumah saya mengumpul kekuatan untuk berdepan dengan masyarakat dan media kerana saya perlu bekerja untuk survival. “Ada ketika saya berasa begitu penat kerana cerita mengenai kami tidak pernah berkesudahan. Pernah saya tertanya sendiri, bila semua ini akan berakhir kerana saya juga mahu hidup aman seperti dulu,” katanya. Akui Memey, sejak peristiwa hitam itu hidupnya sudah tidak setenang dulu.

Kebebasan yang dulu menjadi miliknya sudah mula terhakis dan suasana itu membuatnya tidak selesa. “Setiap kali kami berdua di khalayak, pasti ada yang menghebahkannya kepada media.

Masyarakat seolah-olah cuba mencari kesalahan saya sedangkan saya juga berhak untuk menikmati kehidupan seperti orang lain. “Semua itu membuat saya lebih berhati-hati. Saya tidak mahu tersalah langkah lagi kerana orang di luar sentiasa mencari sebab untuk menunjukkan saya yang bersalah atas apa yang berlaku,” katanya dalam senyum hambar.

Terpulang apa juga tafsiran dan penerimaan khalayak kerana bagi Memey, dia perlu meneruskan hidup seperti biasa. Mujur segala kekalutan itu tidak menghentikan rezekinya dalam bidang lakonan. Rezekinya bagaikan tidak putus kerana tawaran sentiasa mendatangi membuatkan Memey bersyukur kerana Tuhan masih menyayanginya. Namun, tidak semua tawaran yang datang dikautnya kerana gadis ini mempunyai prinsip kerjanya sendiri.

“Saya lebih memikirkan kualiti berbanding kuantiti. Selesai satu penggambaran, baru saya terfikir untuk menerima tawaran lain. “Saya tidak mahu terlalu ghairah menerima tawaran itu dan ini tetapi sudahnya saya tidak mampu memberikan hasil kerja yang baik.

“Saya seorang yang menjaga kualiti kerja dan kerana itu saya merencana perjalanan kerjaya supaya mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan sebelum ke sesuatu lokasi baru,” katanya. Ketika ini, Memey terikat dengan penggambaran drama bersiri 62 episod, Roda Roda Kuala Lumpur selain baru menyempurnakan penggambaran drama, Khatan siaran RTM serta filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Takut namun teruja MENGENAI pembabitannya dalam drama Mingguan Lelaki, Memey yang membawakan watak wanita penggoda bernama Farah berkata, pada mulanya dia berdebar-debar untuk menerima tawaran itu.

Apatah lagi, drama online bersiri yang ditulis Pengurus Besar Kandungan, Jenama dan Pemasaran Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abdul Jalil menemukannya dengan pengarah hebat, Aziz M Osman. “Saya takut dan berdebar-debar kerana ramai memberitahu dia garang ketika di lokasi. Itu yang membuat saya berdebar.

“Namun memikirkan kredibilitinya sebagai pengarah hebat, saya teruja untuk menimba pengalaman bekerja di bawah arahannya. “Saya bertuah kerana dia sentiasa memberi tunjuk ajar. Dalam kebebasan yang diberi, dia banyak membantu serta menegur untuk mencorakkan lakonan saya membuatkan saya selesa di lokasi.

“Alhamdulillah, tidak banyak masalah dihadapi meskipun ini kali pertama saya diserahkan watak yang agak berbeza daripada kebiasaan watak yang diberikan kepada saya,” katanya.

Merendah diri biarpun dipuji Aziz akan potensi dan bakat besar yang dimilikinya, Memey berkata, jika tanpa tunjuk ajar serta teguran pengarah itu tidak mungkin dia mampu memberikan persembahan yang dimahukan. “Durasi untuk penggambaran drama ini agak singkat membuatkan saya tidak mempunyai banyak masa melakukan kajian.

“Lagipun watak Farah agak berat kerana saya perlu menghidupkan watak sebagai wanita penggoda membuatkan beberapa kali penggambaran terpaksa diulangi terutama pada episod ketujuh di mana saya perlu menggoda Fazren Rafi,” katanya.

INFO:
Nama Penuh: Suhaiza Suhaimi
Nama Komersial: Memey Suhaiza
Tarikh Lahir: 25 Mac 1988
Asal: Kota Tinggi, Johor
Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik
Pendidikan: Sekolah Menengah Tenggaroh A, Kota Tinggi, Johor
Drama: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda Kuala Lumpur, Tragedi Oktober, Lara Rindu Mahsuri dan Farah Syakira.
Program TV: Pengacara Diari Anak Seni (RTM)



Kredit berita kepada Berita Harian.

No comments: