
Muncul dengan album sulung berjudul Keadilan pada 1986, kehebatan Lefthanded dalam arena muzik rock tempatan memang tidak dapat disangkal lagi.
Ketika era itu, Lefthanded melakar sejarah apabila Keadilan berjaya mencatat jualan melebihi 60,000 unit.
Bertambah unggul, kumpulan yang dianggotai Man Kidal, Allahyarham Samad, Nash, Man Dayak dan Yan itu juga pernah mendapat pengiktirafan tertinggi apabila album Nafas diangkat sebagai album rock terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-4 pada 1997.
Menghasilkan lebih lima buah album antaranya Keadilan (1986), Seruan (1987), Qabul (1988), Evolusi (1989), Fanatisme (1990), Nafas (1996) dan Reunion 1 - Koleksi Unggul (2003), di awal penubuhannya, Lefthanded pernah dianggotai penyanyi Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) selaku vokalis.
Selain Nash, penyanyi dan komposer terkenal iaitu Arab dan Ramli Sarip juga masing-masing pernah menyertai Lefthanded menerusi album Nafas dan Fanatisme.
Namun, dalam mengharungi persada muzik tanah air, Lefthanded tidak terlepas daripada dilanda dilema apabila beberapa kali tidak bergerak aktif dengan masing-masing membuat haluan sendiri.
Nash mengambil keputusan untuk muncul secara solo, sementara pemain drumnya Man Dayak pula bersara seketika kerana ingin memberikan perhatian kepada perniagaannya.
Anggota lain pula seperti Man Kidal (pemain gitar utama) dan Yan (pemain bass) meneruskan perjuangan muzik mereka dengan cara tersendiri.
Bagaimanapun, atas dasar cinta kepada muzik dan persaudaraan yang telah lama wujud di kalangan mereka, Lefthanded bakal bergabung kembali untuk menjayakan sebuah konsert iaitu Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.
Terkilan
Bakal dilangsungkan di Stadium Negara pada 30 Mei ini, ia diadakan bagi mengisi dana untuk Mercy Malaysia di samping mengiktiraf jasa Allahyarham Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad Mian, gitaris Lefthanded yang meninggal dunia pada Oktober tahun lalu.
"Konsert ini sangat besar ertinya buat Lefthanded. Setelah tiga dekad ditubuhkan, konsert ini boleh disifatkan sebagai konsert mega pertama kami.
"Selain sebagai saluran terbaik buat kami untuk menyumbang kepada badan kebajikan, ia juga adalah untuk menghargai arwah Samad.
"Meski Samad sudah tiada namun semangat muzik Allahyarham terus hidup bersama-sama Lefthanded,'' ujar Man Kidal pada sidang media pengumuman Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan di Borneo Baruk Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan akan diadakan dalam dua sesi iaitu sesi petang dan malam.
Bermula pada pukul 3 petang, jelas Man Kidal, ia akan menghimpunkan band-band indie terkenal seperti Bunkface, The Pilgrims, Couple dan The Times.
Apa yang menarik, katanya, beberapa band indie itu nanti akan menyanyikan lagu-lagu Lefthanded dengan cara mereka sendiri.
"Di sebelah malamnya pula, Lefthanded akan beraksi dengan 18 buah lagunya bakal dinyanyikan oleh legenda rock tanah air iaitu Amy Search, Awie dan Joe Wings, Mus May, Hattan serta Shima.
"Mereka ini akan menggantikan tempat Nash yang kebetulan tidak dapat bersama Lefthanded kerana terlibat dengan komitmen lain.
"Di akhir konsert, kita akan cuba menghimpunkan semua legenda rock terbabit bersama band-band indie melalui persembahan khas,'' jelasnya.
Ujar Man Kidal, ketiadaan Nash membuatkan dia agak terkilan kerana ini adalah peluang untuk Lefthanded kembali bersatu.
"Antara kami tidak ada perselisihan faham. Nash sudah memaklumkan yang dirinya ada terlibat dengan persembahan lain.
"Tapi, kalau Nash mahu menyertai konsert ini pada saat-saat akhir, kami tiada masalah untuk menerimanya,'' jelasnya yang turut berasa sedih kerana ini adalah konsert pertama Lefthanded tanpa Allahyarham Samad.
Katanya, Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan juga akan dijadikan platform untuk Lefthanded mengintai peluang bagi bergabung semula dan terlibat dengan beberapa konsert jelajah terutama di Sarawak dan Sabah pada masa mendatang.
"Jutaan terima kasih kepada penganjur iaitu Win Archer (M) Sdn. Bhd., kerana konsert seperti ini adalah satu pengiktirafan kepada kami,'' tambah Man Kidal.
Sasaran penganjur
Sementara itu, Pengarah Urusan Win Archer, Azlina Ibrahim yang bertindak sebagai penganjur berkata, konsert Lefthanded itu bertujuan untuk menyemarakkan kembali zaman kegemilangan legenda rock tanah air.
Katanya, Stadium Negara yang mampu memuatkan 10,000 penonton, penganjur mensasarkan bilangan penonton yang melebihi daripada kapasiti tersebut.
"Sekarang ini kita sedang menggiatkan usaha untuk mencari lebih banyak penaja dan mengalu-alukan badan-badan korporat untuk bersama menjayakan konsert berkenaan.
"Kemampuan artis legenda seperti Lefthanded memang tiada tandingannya dan sebagai penganjur, saya yakin bahawa peminat rock tanah air akan memberi sokongan kepada konsert ini.
"Tambahan pula, konsert itu diadakan bagi tujuan amal untuk Mercy Malaysia,'' tambahnya.
Jelas Azlina, konsert pada malam itu juga bakal direkodkan untuk dijual dalam bentuk cakera video digital (DVD).
Katanya, tiket-tiket boleh didapati menerusi www.axcess.com atau hubungi 03-7711 5000.
Tiket juga dijual di Music Valley, Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru (07-334 0063); Ambassador Counter, Cosmetic & Fragrances Dept., Sunway Pyramid (012-345 2775); Rock Corner, The Curve, Mutiara Damansara (012-345 8335) dan Rock Corner, KLCC, Kuala Lumpur (012-345 9551).
Kredit berita kepada utusan.
No comments:
Post a Comment