Create your own banner at mybannermaker.com!

Just Talk!









Adlin-Emelda selamat diijabkabulkan

IPOH: Dengan sekali lafaz, pengacara dan pelakon Adlin Aman Ramlie, 37, sah bergelar suami kepada aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29.

Mereka dinikahkan oleh penolong pendaftar perkahwinan, penceraian, rujuk kawasan PGA Ulu Kinta, Zainudin Abu Arshad di Masjid An-Nur, Batu 8, di sini, tepat pukul 5.28 petang tadi.

Dalam majlis yang berlangsung secara sederhana itu, Emelda menerima wang hantaran RM30,000, mas kahwin RM1001 serta tujuh dulang hantaran daripada Adlin.

Antaranya adalah kamera digital, senaskhah al-Quran, set wangian, beg tangan dan kasut, dan sirih junjung.

Sementara itu, Adlin menerima sembilan dulang hantaran daripada Emelda seperti beg silang, senaskhah al-Quran, jam tangan, dan kasut.

Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan berwarna putih rekaan Calvin Thoo kelihatan gembira dan teruja setelah selesai diijabkabulkan.

"Saya sangat seronok dan teruja kerana dalam tempoh empat tahun bersama Mel, sebagai lelaki memang saya mencari pasangan yang dirasakan sesuai.


"Apabila dapat bertunang dan nak berada di alam bersama dia, saya rasa bangga kerana akan mengahwini perempuan yang saya kenal luar dan dalam.

"Semasa diijabkabulkan, saya rasa sangat 'excited'," luah Adlin dalam satu sidang media di rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8, di sini.

Dalam pada itu, Emelda berkata sebelum itu, dia berasa sebak kerana tidak dapat berkongsi hari bahagia bersama ayahanda tercinta, Abdul Hamid Mad Ally yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu.

"Saya rasa sedih sebab bapa tiada kerana saya dengan arwah sangat rapat.
"Selepas itu, saya rasa lega kerana selalunya perempuan akan berasa lebih risau daripada lelaki. Alhamdulillah, majlis nikah pun telah selesai.


"Saya rasa tak salah pilih orang (Adlin) dan selalu yakin yang dia akan menjadi suami saya dalam empat tahun kami bersama," ujar Emelda.

Majlis yang dihadiri oleh 200 orang tetamu itu turut dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah mempelai iaitu ibu Emelda, Rokiah Ibrahim, 63, ibu Adlin, Ruminah Sidek, 63, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida dan suami, pengacara AF7, AC Mizal serta pelakon dan penyanyi Aqasha.

Pasangan pengantin yang menyemai cinta sejak empat tahun lalu itu mengikat tali pertunangan mereka pada 14 Mac lalu sempena tarikh lahir Emelda.

Majlis resepsi sebelah Emelda pada esok hari di Dewan Banquet SUK Perak, di sini turut mengambil sempena tarikh lahir Adlin yang jatuh pada 23 Mei.

Sementara itu, majlis resepsi sebelah Adlin dijangka akan diadakan pada 21 Jun depan di Meru, Klang secara ‘rewang’ iaitu kenduri gotong-royong.



Kredit berita kepada mstar.

Lisa ingin kendalikan firma guaman bapa


SABAN hari, nama aktres muda ini semakin menyinari persada seni. Rezekinya di dalam bidang ini nampaknya semakin mencurah-curah, apatah lagi sebaik dilantik sebagai pelakon Wajah Eksklusif Astro Megadrama tidak lama dulu.

Pakej lengkap yang ada pada Lisa Surihani iaitu cantik dan berbakat besar sememangnya menjadi kelebihan buat aktres, model dan pengacara berusia 23 tahun ini yang cukup 'laku' di kalangan produser drama dan filem ketika ini.

Apa yang diraih olehnya setakat ini memang merupakan pencapaian yang amat dihargainya. Namun, tutur Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) ini, dalam masa sama mengembangkan karier seninya, dia masih menyimpan hasrat untuk meneruskan impiannya bergelar seorang peguam.

Kata Lisa, sejak arwah bapanya meninggal dunia tahun lalu, dia sudah terfikir untuk cuba meneruskan cita-citanya itu agar dapat mengendalikan firma guaman milik bapanya yang kini diuruskan oleh seorang rakan kongsi.

"Dengan ijazah undang-undang yang saya ada sekarang ini, saya masih belum mampu menjadi seorang pengamal undang-undang. Saya hanya boleh melakukan serba-sedikit saja tugas yang membabitkan perundangan.

"Masih banyak peringkat dan ujian yang perlu saya duduki untuk bergelar seorang peguam yang bertauliah. Dan sepatutnya, saya perlu menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) dalam tahun ini, tetapi dengan jadual seni yang padat, saya terpaksa tangguhkan dulu.

"Untuk buat CLP, ia memerlukan komitmen yang tinggi. Jadi, saya rasa, biarlah saya tangguhkan seketika dan bila sampai masanya, saya tetap akan teruskan apa yang tergendala kerana impian saya ini tidak pernah padam," kata pemegang ijazah undang-undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom ini.

Lantaran itu, buat masa ini, kata Lisa, selagi diberi peluang dan mendapat kepercayaan banyak pihak, dia akan terus merangkul tawaran lakonan yang diberikan walaupun dia akui tidak menyangka dirinya diterima baik di dalam bidang ini.

Malah, diam tak diam, Lisa sudah pun membintangi enam buah filem setakat ini dan akan menjayakan filem ketujuhnya, Lagenda Budak Setan, tidak lama lagi.



"Inilah dinamakan rezeki. Saya pun tidak menyangka peluang saya di dalam bidang ini menunjukkan tanda-tanda yang cukup positif," ujar Lisa yang baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Tiga Janda baru-baru ini.

Bercerita lanjut tentang filem Lagenda Budak Setan yang diadaptasi daripada novel karya Ahadiat Akashah itu, kata Lisa, sekali lagi dia akan bergandingan dengan aktor Farid Kamil dan beberapa pelakon lain lagi.

"Ini adalah kali keempat saya digandingkan dengan Farid di dalam filem mahupun drama. Mungkin ramai yang akan bertanya, mengapa saya asyik bergandingan dengannya, tapi itu di luar bidang kuasa saya.

"Apa yang penting, saya ambil tugas itu sebagai satu tanggungjawab. Tetapi setakat ini, saya akui senang bekerja dengan Farid," kata Lisa yang juga tidak terlepas digosipkan dengan aktor itu.

Ujarnya lanjut, peluang dapat terus bekerjasama dengan Farid amat dihargainya apatah lagi pelakon itu tidak lokek berkongsi ilmu tentang lakonan.

"Dia banyak membantu dan sebab itu saya seronok bekerja dengannya. Tapi adakalanya, memang segan juga sebab dia jauh lebih berpengalaman daripada saya.

"Namun, dengan kerjasama yang baik dan dia juga tidak sukar untuk dibawa berbincang telah memudahkan sedikit kerja masing-masing," kata Lisa sambil mengukir senyuman.



Kredit berita kepada mstar.

Konsert AF 7 - Final

Peningkatan 45 peratus undian teruskan legasi AF

PROGRAM realiti popular, Akademi Fantasia (AF) dijangka akan meneruskan legasinya ke musim ke-8 selepas peratus undian menunjukkan peningkatan 45 peratus berbanding musim lalu.

Keputusan itu disahkan oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah sejurus selepas berakhirnya Konsert Akhir AF7 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada Sabtu lalu.

“Sebanyak 45 peratus undian yang meningkat daripada musim yang lalu. Undian itu termasuk undian AF masuk.

“Namun, ia tidak setinggi undian yang dikutip semasa Konsert Akhir AF2. Kita melihat trend peningkatan ini bermula dari AF3, AF4, AF5 dan AF6,” katanya.

Tambah Zainir, fenomena ini merupakan suatu perkara yang dibangga sekaligus membantu dari segi promosi.
“Peningkatan ini juga seolah-olah memberi petunjuk yang kuat untuk kami membuat AF8,” ulasnya.

Ketika menyaksikan Konsert Akhir AF7 baru-baru ini, penulis merasakan persembahan peserta nampak hambar sekaligus membuatkan ia kelihatan membosankan akibat pemilihan lagu yang salah oleh tenaga produksi.

Jelas Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, semua lagu yang diberikan kepada pelajar merupakan tugasan dan cabaran yang perlu dipikul.

“Kami melihat setiap pelajar mempunyai genre mereka tersendiri. Kita berikan lagu agar mereka jadikan seperti nyanyian mereka sendiri.

“Ia terpulang kepada mereka. Saya lihat ada yang berjaya dan tidak berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

“Mereka gayakan dengan lebih elok dan mendapatkan ilham yang lebih sesuai dengan mereka.
“Ini merupakan satu cubaan dan cabaran untuk membezakan antara juara dengan finalis lain,” katanya.

Khairul Mizan turut berkata, semua lagu sedia ada yang dinyanyikan oleh peserta dipilih mengikut lagu yang mendapat tempat di hati pendengar-pendengar.


“Kami memilih lagu-lagu yang sedia ada ini berdasarkan senarai lagu-lagu hits tempatan oleh Era FM.

“Itu merupakan cabaran untuk mereka menunjukkan apakah perbezaan yang ditonjolkan dalam persembahan masing-masing,” ujarnya.

AF7 kali ini menekankan tagline 'satu transformasi akan berlaku' yang sentiasa menjadi sebutan ramai sehingga ada yang tertanya-tanya apakah transformasi yang ditonjolkan sehingga ke konsert terakhir ini.

Menurut Zainir, menurutnya, AF masih relevan dan objektif untuk mencapai transformasi itu telah tercapai.

“AF7 masih mengikut tema transformasi yang ditekankan oleh tenaga produksi,” beritahu Zainir.

Dalam pada itu, Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina mengakui antara lima orang finalis yang berjaya ke peringkat akhir konsert itu yang menunjukkan transformasi paling besar adalah Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 18.

“Dari ‘underdog’ hingga berjaya ke peringkat final dan paling hebat adalah Akim. Dia paling banyak belajar dari satu minggu ke satu minggu.

“Isma pula berubah daripada seorang wanita yang nampak sebagai isteri orang tetapi kini menjadi agak ‘hot’.

“Yazid pula bertukar daripada gemuruh dan gagap boleh ‘pukul’ AC Mizal ketika dalam konsert.



“Aril dan Hafiz pula sudah nampak potensi mereka dan banyak berubah dari tahap ‘good’ kepada ‘great’,” tutur Tiara yang dikenali sebagai Prinsipal TJ dikalangan para pelajarnya.

Walaupun dinobatkan sebagai peserta yang mengalami banyak transformasi, Akim hanya berjaya menempatkan dirinya di tempat ke-3.

Hafiz berjaya melayakkan dirinya menyandang gelaran juara, diikuti dengan Aril sebagai naib juara, Yazid di tempat ke-4 manakala Isma berada di tempat ke-5.

Semua peserta berjaya membawa pulang hadiah masing-masing termasuk wang tunai dan trofi sumbangan Astro melainkan Isma yang hanya mendapat trofi semata-mata.

Adakah ia adil kepada Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail, 30, untuk pulang dengan tangan kosong tanpa hadiah wang tunai?

“Hadiah wang tunai cuma hadiah saguhati. Peluang untuk meraih wang tunai lebih banyak pada masa akan datang.

“Bagi saya, wang tunai tidak menjadi sebab utama mereka memasuki pertandingan ini dan tiada masalah kepada diri masing-masing,” kata Zainir.

Menjawab persoalan itu dan berusaha memberi penerangan kepada hal itu, Isma mengiyakan apa yang diperkatakan oleh Zainir.

“Wang tunai tidak menjadi ukuran. AF merupakan suatu platform yang dirasakan cukup bangga walaupun saya mendapat tempat ke-5. Saya akan berusaha keras selepas ini,” janji Isma.

Sebelum mengakhiri sidang media tersebut, Khairul Mizan sempat meuar-uarkan tentang program ‘Menuju Puncak’ iaitu program realiti yang menceritakan tentang perjalanan Hafiz sebagai juara AF7 yang bakal muncul di kaca TV dalam masa dua minggu lagi.


Kredit berita kepada mstar.

Hafiz Juara

Debaran transformasi AF7 berakhir apabila Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 19, yang berasal dari Kuching, Sarawak diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia Musim Ketujuh di Stadium Putra, Bukit Jalil, seperti yang disiarkan di Astro Ria (Saluran 104)
Dengan memperolehi undian sms terbanyak daripada penonton, Hafiz telah menjadi pilihan majoriti masyarakat Malaysia untuk menjuarai musim ketujuh program realiti hiburan terbitan Astro yang paling popular di Malaysia itu
Sekaligus menewaskan 4 finalis lain iaitu Yazid, Akim, Isma Aril apabila beraksi dengan baik pada malam itu menerusi lagu Kau Bunga Cintaku nyanyian asal Anuar Zain serta lagu baru
Masih JelasDengan kemenangan itu, Hafiz berjaya membawa pulang kereta Honda Accord 2.0 tajaan Honda Malaysia, Percutian Ke New York Untuk 2 orang, Sistem Home Theatre Arezzo Hoffman 5.1 (Arezzo), Camera U130 (Olympus), Penapisan Udara Hyundai (MSP Advance), Jam Tangan Hugo Boss (Hugo Boss), Brand Innershine untk dinikmati selama 1 tahun (Cerebos), Nokia 5730 Xpress Music (Nokia), wang tunai RM20, 000 serta trofi
Sementara itu, Khairil Azam Pilus atau Aril, 24 dari Kuala Lumpur yang diumumkan sebagai naib juara bagi musim ini pula seperti biasa tidak mengecewakan apabila sentiasa tampil dengan aksi dan persembahan yang cukup berani, tersendiri serta menghiburkan menerusi lagu Kasih Tak Sampai nyanyian asal Padi serta lagu baru Toksik
Dengan kemenangan itu, Aril yang kini digelar ikon di kalangan peminat remajanya berjaya membawa pulang hadiah berbentuk baucer percutian bernilai RM,3000 tajaan Maybelline, Camera U1030 (Olympus), Karaoke Set Arezzo Hoffman (Arezzo), Penapisan Udara Hyundai (MPS Advance), jam tangan Hugo Boss (Hugo Boss), wang tunai RM10,000 serta trofi
Tempat ketiga menjadi milik Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, yang telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan pada minggu terakhir AF7. Kemenangan itu, sekaligus melayakkan Akim .untuk memenangi baucer percutian bernilai RM2,000 tajaan Maybelline, Camera F3320 (Olympus), wang tunai RM8,000 serta trofi
Berasal dari Johor Bahru, Johor Akim telah berjaya memukau mata penonton apabila menyampaikan lagu Bencinta nyanyian asal Faizal Tahir serta lagu baru Bengang dengan kejutan yang mantap
Mohd Yazid Mohd Ibrahim atau Yazid, 22, dari Johor Bahru Johor pula hanya berupaya menduduki tempat keempat apabila menyampaikan lagu Dewa 19 berjudul Qasidah Cinta serta lagu baru Ya Pa Pa. Beliau membawa pulang kamera FE320 tajaan Olympus, wang tunai RM3,000 serta trofi
Ismaliza Ismail atau Isma, 30, daripada Kuala Lumpur apabila dia hanya sekadar berjaya menduduki tempat ke-5 dalam konsert akhir AF7 ini menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa nyanyian asal Misha Omar serta lagu baru Bisikan…Godaan hasil ciptaan Zul suaminya sendiri
Konsert selama 3 jam yang itu dipancarkan secara langsung di Astro Ria serta radio rasmi Era FM itu telah dibawakan oleh Hotlink selaku penaja utama. Ia turut menampilkan segmen persembahan daripada bekas pelajar AF7 yang tersingkir sebelum ini seperti Qhaud, Rini dan Sidi
Selain itu, ia juga turut diserikan dengan persembahan juara AF6 terdahulu Stacy serta tarian pembukaan dari Hardstyle Republic. Finalis AF7 sendiri turut membuat persembahan pembukaan menerusi lagu Revolusi yang dipopularkan band muzik BunkfaceKonsert final hebat itu dihoskan dengan lancar oleh AC Mizal dan menampilkan pengacara diari AF7, Sarimah Ibrahim. Pengkritik malam tadi adalah Edrie Hashim, Dato Khadijah Ibrahim serta Adlin Aman Ramlie
Semua hadiah disampaikan Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina yang kemudian menutup dengan rasminya upacara graduasi akademi sebelum tirai pentas dilabuhkan lewat tengah malam tadiBerikut adalah kedudukan undian pada malam iniKedudukan undian sebelum konsert bermula
PELAJAR PERATUSAN (%)
HAFIZ 44
ARIL 22
YAZID 15
AKIM 13
ISMA 6
Kedudukan undian selepas undian ditutupHAFIZ 46ARIL 22AKIM 18YAZID 9ISMA 5Teruskan sokongan anda kepada mereka dan menonton rancangan-rancangan menarik di Astro Ria (Saluran 104)

Hari Terakhir


Selama sepuluh minggu para pelajar mendiami Akademi dan terpisah daripada dunia luar. Kini, mereka sudah berada hari terakhir sebelum menjelangnya konsert akhir. Apakah yang perasaan kesemua pelajar ini? Semuanya akan dapat anda tonton dalam Diari Akademi Fantasia jam 9.00 malam ini. Sebelum itu, kita akan dapat mengimbas isu yang membangkitkan kemarahan Penasihat Residen Abang Asrul kepada Yazid. Mengapakah perkara seperti ini perlu terjadi di hari-hari terakhir di Akademi. Setelah ditegur, katanya Yazid seperti tidak dapat fokus dengan apa yang dilakukanPaling menyerikan kehidupan mereka menjelang konsert akhir apabila berpeluang menelefon keluarga masing-masing untuk mendapatkan restu dan doa pembakar semangat. Semuanya akan dapat anda tonton dalam Diari Akademi Fantasia, jam 9.00 malam ini, pastinya di Astro Ria (Saluran 104)

Hafiz juara AF7 pilihan selebriti!


ASTRO sekali lagi akan menobatkan ikon baru atau Juara Akademi Fantasia musim ketujuh Sabtu ini.

Jika ditanya siapakah yang paling layak, jawapan selamat tentulah 'SMS anda penentunya.'
Segala telahan atau ramalan menjurus kepada siapakah peserta favourite musim ini - Aril, Akim, Hafiz, Isma, Yazid?.

Atau Fan Club (FC) mana yang paling ramai membelanjakan wang untuk undian SMS.
Di waktu-waktu begini, semua FC akan berkerja keras memastikan kemenangan idola mereka.
Banyak juga spekulasi yang dibuat oleh bloggers di saat-saat akhir begini.

Perkara pertama yang diambilkira ialah lagu jenis apa yang diberikan kepada lima pelajar akhir AF7? Jika lagu itu merdu dan popular, ini satu laluan mudah untuk menambat hati pengundi.

Kedua, faktor komen juri dan 'permainan media'. Berdasarkan kepada tinjauan yang dibuat dan merujuk kesemua faktor di atas, bacaan yang tepat untuk mengetahui siapa Juara Af7 amatlah mudah.

Sentimen kuat ke arah pelajar berambut kerinting, Hafiz tapi memandangkan lagu yang tidak berapa komersial yang diberikan, ianya bagaikan satu tanda tanya.

Elemen kejutan juga tidak boleh dinafikan. Begitu juga permainan drama di konsert akhir Sabtu ini perlu diambil kira.

Ketika soalan ..."Siapakah paling layak bergelar juara AF7?" diajukan kepada pembaca-pembaca mStar Online, rata-rata memilih pelajar dari Kuching, Sarawak iaitu Hafiz yang mendapat 34.6%, diikuti oleh Isma 20.9%, Akim 17.1%, Aril 16.2% dan Yazid 11.3%.

Mungkin juga soalannya kini, bukan siapa yang akan jadi Juara Af7, tapi lebih tepat rezeki siapa? APA KATA SELEBRITI/PERSONALITI


Amy Mastura:
"Saya pilih Aril sebab saya nampak dia cukup menyerlah. Dia ada keistimewaan tersendiri walaupun pernah tersingkir sebelum ini. Bukan saja bidang nyanyian, saya rasa dia juga boleh ceburi bidang lain juga seperti lakonan."

Anita Sarawak:
"Sejak awal lagi saya dan suami, Abang Mahathir memang suka dengan Hafiz. Bagi saya, dia menampakkan kesungguhan untuk berjaya sejak awal-awal lagi. Dia mengingatkan saya dengan diri sendiri ketika muda dulu yang mana saya juga sentiasa bersungguh-sungguh untuk berjaya. Dia masih muda dan dan mempunyai personaliti yang baik."

Ramli MS:
"Saya hanya sempat melihat beberapa konsert saja. Bagi saya, pelajar yang paling menyerlah ialah Hafiz. Sekali dengar saja, saya tahu budak ini berbakat besar."

Misha Omar:
"Secara keseluruhannya, saya nampak Hafiz yang konsisten. Dia nampak cukup jujur. Dan apa yang penting, Hafiz mampu bawakan pelbagai jenis genre lagu. Masanya masih panjang dan saya tahu dia boleh berjaya dalam industri ini."

Vanidah Imran:
"Saya jarang berpeluang manyaksikan konsert AF, tetapi sejak dua tiga minggu lalu, saya dapat menonton. Dan saya memang terpukau dengan kehebatan vokal Hafiz. Minggu lepas saya memang suka sangat dengan persembahan Hafiz menerusi lagu I Believe I Can Fly. Memang nampak kesungguhannya."

Fauziah Latiff:
"Saya pilih antara Hafiz atau Aril. Kedua-duanya ada aura tersendiri. Aril mempunyai pakej lengkap sebagai artis manakala Hafiz pula ada kekuatan dari segi vokal dan saya lihat dia mempunyai karektor yang 'warm' serta menggambarkan seorang budak yang baik."

Fouziah Gous:
"Saya rasa Isma ada potensi untuk menang. Mungkin ada yang merasakan suaranya mirip Datuk Siti Nurhaliza, tetapi saya rasa dia tetap mempunyai vokal yang bagus."

Kudsia Kahar:
"Saya pilih Hafiz kerana dia konsisten selama sembilan minggu dan versatil. Campaklah lagu apa pun, dia tetap boleh buat. Dari awal lagi, Hafiz sudah serius dan memang ingin menjadi juara. Dia mempunyai kehendak dan menggunakan ruang atas pentas dan masa untuk meyakinkan penonton dan pengundi.

"Jika tidak Hafiz, dua pelajar lain yang boleh mengangkat trofi juara adalah Akim dan Aril kerana persembahan mereka semakin meningkat sejak minggu keenam."

Nabil:
"Bagi saya, yang betul-betul berbakat adalah Hafiz. Jadi, saya pilih dia sebagai juara. Selain berbakat, dia mempunyai suara tersendiri dan dapat menyampaikan lagu dengan baik."

Stacy:
"Saya pilih Hafiz sebab dia konsisten dan saya suka menonton persembahannya. Tetapi semuanya bergantung kepada rezeki kerana jika diikut pada kelayakan, semua finalis layak untuk menang."
Dina Malaysian Idol:
"Saya nak Hafiz menang AF7 sebab saya meminatinya sejak minggu pertama AF7 lagi dan dia mempunyai kualiti yang unik."

Norish Karman:
"Saya doakan Hafiz menjadi juara AF7 kerana dia mempunyai segala-galanya. Dia boleh menyanyi apa-apa lagu yang diberikan dan menerima setiap kritikan. Saya rasa dia boleh menjadi 'big star'. Kita kena beri peluang kepada seorang 'performer' yang bagus sepertinya."

Siti Sarah:
"Saya meramalkan juara AF7 bakal digondol oleh Hafiz, Isma dan Akim. Hafiz berbakat besar, satu pakej yang lengkap untuk penyanyi dan penghibur dan mampu menyampaikan lagu dengan baik sekali.
"Bagi Isma, saya dapat rasakan dia bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik. Akim pula dapat memberikan persembahan menarik dalam keadaan bersahaja."

Syamsul Yusof:
"Saya rasa, Hafiz ada ciri-ciri seorang juara. Dia 'down to earth', berbakat dan ada cara tersendiri. Tapi apapun, saya rasa mungkin dia akan bersaing sengit dengan Aril."



Kredit berita kepada mstar.

Langgar Peraturan


Minggu terakhir bukanlah alasan untuk pelajar melanggar peraturan Akademi. Apatah lagi tetap meneruskan kesalahan walaupun sudah ditegur sehingga menimbulkan kemarahan Penasihat Residen.
Semuanya akan dapat anda tonton dalam Diari Akademi Fantasia jam 9.00 malam ini. Pada masa yang lain, Akim berkongsi cerita tentang keistimewaan ibu kesayangannya.
Diceritakan pula bagaimana dia dibesarkan dengan hasil jualan kuih Batang Buruk yang dibuat hasil air tangan ibunya. Turut diceritakan tentang keadaan ibunya yang menghidapi penyakit buah pinggang.
Paling menakutkan apabila Hafiz mengalami sakit gigi sedangkan Konsert Akhir semakin hampir tiba dan terpaksa dibawa ke klinik. Semuanya akan dapat anda tonton dalam Diari Akademi Fantasia, jam 9.00 malam ini, pastinya di Astro Ria (Saluran 104)



Kredit berita kepada astro.